Foto hiasan
Foto hiasan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menjangkakan berlaku kenaikan harga makanan dan minuman di restoran ahlinya pada tahun hadapan.

Pada masa ini, masih tiada kenaikan harga bagi makanan dan minuman di restoran milik ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) sehingga 31 Disember ini.

Presiden Presma Datuk Jawahar Ali Taib Khan sebaliknya berkata, sebarang cadangan berkaitan akan diputuskan di dalam rundingan dengan agensi serta kementerian berkaitan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya akan mengemukakan cadangan mengenai harga makanan dalam perbincangan dengan beberapa kementerian.

Katanya, pihaknya tidak menolak kenaikan akan berlaku, namun ia pada harga yang paling minimum sesuai dengan kos tinggi yang terpaksa ditanggung pada masa ini.

"Untuk tahun ini, tidak akan ada kenaikan. Itu sudah pun kita janjikan sebelum ini. Presma akan berbincang dahulu dengan agensi serta kementerian terbabit sebelum keputusan dibuat.

"Kali terakhir harga makanan dan minuman disemak semula adalah tiga tahun lalu dan dengan situasi harga barangan ketika ini, kita akan bincang mengenainya," katanya.

Beliau mengulas mengenai jangkaan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia dan Singapura menaikkan harga minuman antara 20 sen hingga 60 sen mengikut lokasi pada tahun hadapan berikutan kos operasi yang semakin meningkat.

Jawahar Ali berkata, pihaknya sedar mengenai kebergantungan pelanggan terhadap beberapa menu utama seperti nasi, roti canai dan lain-lain, justeru cadangan kenaikan paling minimum akan dibentangkan.

"Rasanya tidak sampai 60 sen, itu terlalu tinggi. Tapi apapun, kita akan dapatkan pandangan semua pihak bagi mendapatkan rasional kenaikan yang dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 5:59 PM