Jawahar Ali Taib Khan
Jawahar Ali Taib Khan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menafikan laporan yang tular mendakwa seorang pelanggan kedai mamak terpaksa membayar sehingga RM45 untuk nasi campur.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, semakan awal mendapati cerita yang disiarkan di sebuah portal itu tidak tepat dan bukan berlaku di restoran mamak.

Katanya, pihaknya kesal dengan kejadian itu.

"Sehari dua ini banyak pihak terkesan dengan kenaikan harga barang.

"Namun mengaitkan restoran mamak dengan bayaran mahal adalah tidak wajar dan saya difahamkan kejadian berlaku di restoran lain, bukan kedai mamak.

"Ini sekali gus menjejaskan imej ahli Presma di seluruh negara yang kini berdepan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar susulan kenaikan harga barangan sejak kebelakangan ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan laporan itu, pelanggan dikatakan membayar RM45 untuk sepinggan nasi putih, telur goreng bawang, empat potong sotong, ayam goreng pandan, sambal petai, otak-otak dan lemon madu.

Ia mengundang reaksi netizen di media sosial yang mempersoalkan harga berkenaan berikutan agak mahal.

Jawahar Ali berkata, pihaknya sedang mengenal pasti di mana kejadian itu berlaku.

"Apa pun ini adalah pengajaran kepada peniaga agar tidak mengenakan caj melampau. Pada masa sama, orang ramai juga perlu mendapatkan fakta sebenar mengenai kejadian agar tidak berlaku fitnah sama ada kepada peniaga mahu pun pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 5:15 PM