JAWAHAR ALI TAIB KHAN
JAWAHAR ALI TAIB KHAN
Yusmizal Dolah Aling


KUALA LUMPUR: Tiada kenaikan harga makanan di restoran Muslim setakat ini biarpun menghadapi masalah kenaikan harga bawang dan kekurangan bekalan bawang merah dari India.

Jaminan itu diberikan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang masih mengekalkan harga seperti sedia ada untuk keselesaan pelanggan di semua restoran ahlinya.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, biarpun berdepan bekalan bawang merah yang kritikal, pihaknya komited tidak menaikkan harga walaupun berdepan kenaikan kos barangan lain seperti sayur dan bahan mentah.

“Bukan saja bawang, barangan lain juga mengalami kenaikan harga. Itu kami perlu akui, tetapi ahli Presma diingatkan supaya tidak menaikkan harga susulan perkembangan terbaru ini.

“Ada restoran yang masih mempunyai bekalan dan secara purata setiap restoran menggunakan 20 kilogram bawang setiap hari. Kami berharap situasi segera pulih dan bekalan diperoleh seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 6:10 AM