Datuk Jawahar Ali Taib Khan
Datuk Jawahar Ali Taib Khan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Tangguh kenaikan sekurang-kurangnya dua tahun. Itu permintaan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) kepada kerajaan supaya melihat semula kenaikan tarif elektrik yang dijadualkan dalam masa terdekat.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia boleh memberi implikasi kepada kenaikan harga barang.

Katanya, dengan ekonomi negara yang masih lagi tidak menentu dan peniaga baru saja semakin pulih kesan pandemik Covid-19, kenaikan itu akan memberi kesan langsung kepada sektor perniagaan makanan yang terpaksa menanggung kos kenaikan utiliti.

Katanya, sebelum ini, golongan peniaga berdepan dengan kenaikan harga barang mentah secara mendadak dan setakat penghujung tahun lalu, ramai yang memilih untuk menyerap kenaikan kos berkenaan bagi membantu pelanggan.

"Presma beranggapan, ini bukanlah masa yang sesuai untuk memperbaharui tarif elektrik kerana ia hanya akan menyebabkan kos kenaikan harga barangan lain termasuk makanan dan minuman tidak dapat dielakkan.

"Justeru Presma berharap kadar tarif baharu elektrik negara bagi tempoh 2022 sehingga 2024 yang akan dilaksanakan tidak lama lagi dikaji semula selari dengan unjuran keuntungan TNB tahun lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun pengguna komersial dan industri hanya kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan pengguna elektrik, ia akan memberikan kesan langsung kerana jumlah kegunaan lebih tinggi jika dibandingkan pengguna domestik.

Jumaat lalu, kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih sembilan juta pengguna domestik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk meneruskan pemberian subsidi sebanyak lebih RM700 juta supaya pengguna domestik tidak terkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 3:07 PM