ZURAIDA meninjau kerja-kerja ukiran kayu di Majlis Penyerahan Mesin kepada Pengusaha Bumiputera Dalam Industri Pembuatan Bot dan Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) di Desa Ukiran Kayu, di Kampung Raja, Besut. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
ZURAIDA meninjau kerja-kerja ukiran kayu di Majlis Penyerahan Mesin kepada Pengusaha Bumiputera Dalam Industri Pembuatan Bot dan Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) di Desa Ukiran Kayu, di Kampung Raja, Besut. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mencari kaedah bersesuaian untuk mempromosi ukiran kayu tempatan bagi kegunaan di pejabat-pejabat kerajaan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, buat masa ini belum ada polisi untuk membekalkan ukiran kayu ke pejabat kerajaan, sebaliknya dilaksanakan secara individu mengikut kementerian masing-masing.

"Kita akan berbincang kaedah bagaimana boleh laksanakan untuk mempromosikan seni ukiran kayu di pejabat-pejabat kerajaan dan kementerian seperti digunakan pada plak nama, pintu pejabat dan sebagainya.

"Kalau ada 'mass order' kumpulan (pengukir) boleh buat dan bekalkan. Memang ada pejabat kerajaan yang guna ukiran kayu tetapi mengikut kementerian atau individu, tidak ada satu arahan atau polisi.

"Jadi mungkin sebagai menteri komoditi (KPPK), saya minta mereka mempertimbangkan menggunakan kayu-kayu ukiran ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Mesin kepada Pengusaha Bumiputera Dalam Industri Pembuatan Bot dan Pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) di Desa Ukiran Kayu, di Kampung Raja, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika cadangan itu dapat dilaksanakan, ia akan dapat membantu kira-kira 850 pengukir kayu di seluruh negara termasuk 300 pengukir di Terengganu.

Dalam pada itu, katanya, pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) akan memartabatkan industri ukiran negara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, usahawan industri perkayuan dan Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir).

Dalam majlis itu, Zuraida turut mengumumkan kelulusan peruntukan bernilai RM1.5 juta bagi keperluan mesin dan jentera pengukiran kayu perabot dan bot kepada penggiat seni ukiran di Besut, Terengganu.

"Sekarang mereka mengukir secara manual, dan kalau manual ukiran lambat untuk dihasilkan. Mesin pengukiran kayu ini dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil seni ukiran kayu," katanya.

Katanya, pasaran ukiran kayu tempatan dianggarkan bernilai antara RM30 juta hingga RM40 juta setahun dan industri ini berpotensi mencapai nilai pasaran tempatan antara RM150 juta hingga RM200 juta setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 4:36 PM