ISMAIL Sabri ketika merasmikan Program Eksklusif bersama Perdana Menteri dan Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Putrajaya. Turut kelihatan Zuraida Kamaruddin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ISMAIL Sabri ketika merasmikan Program Eksklusif bersama Perdana Menteri dan Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Putrajaya. Turut kelihatan Zuraida Kamaruddin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030 yang mengandungi lima teras utama bakal dilancarkan pada bulan depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.

Lima teras utama yang diketengahkan dalam dasar baharu itu ialah kemampanan, teknologi, nilai tambah, keterangkuman serta perkongsian sumber dan kekayaan.

"(DAKN) ini ada lima teras dan ia telah diluluskan di peringkat Kabinet… ia antara lain boleh membantu tangani kempen isu anti sawit," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Jelajah Agrikomoditi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, malam ini.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya berkata DAKN 2021-2030 bakal dilancarkan bagi memacu pembangunan sektor agrikomoditi secara lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran selaras dengan norma baharu serta peningkatan penggunaan digital pasca-Covid-19.

DAKN 2021-2023 akan dilancarkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi menggantikan Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020, kata Ismail Sabri.

DAKN 2021-2030 itu juga akan digunakan sebagai rujukan kepada industri komoditi negara dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 11:56 PM