MUHAMMAD sentiasa bersedia menurunkan ilmu mengukir kepada Marhaja.
MUHAMMAD sentiasa bersedia menurunkan ilmu mengukir kepada Marhaja.
MARHAJA bangga dapat teruskan kemahiran ayah dalam seni ukiran.
MARHAJA bangga dapat teruskan kemahiran ayah dalam seni ukiran.
PELBAGAI produk berasaskan kayu dihasilkan pengukir muda wanita ini.
PELBAGAI produk berasaskan kayu dihasilkan pengukir muda wanita ini.
Mohd Rafi Mamat

Kehalusan ukiran dengan corak tumbuhan menjalar yang dihasilkan di atas kepingan pelbagai jenis kayu begitu menarik hingga mampu menggamit minat setiap mata memandang.

Gandingan kemahiran dan darah seni yang ada meletakkan anak kampung, Marhaja Muhammad, 28, sebagai pengukir wanita yang mahir, mempunyai identiti dan imej tersendiri.

Pendorong kuat kepada pembabitannya dalam bidang itu sejak lebih enam tahun lalu adalah bapanya, Muhammad Draman, 61, yang juga seorang pengukir kayu profesional berpengalaman lebih 20 tahun.

“Jiwa saya terlalu dekat dengan ukiran kayu terutama apabila melihat ayah mengukir dan menghasilkan produk seperti meja, katil, tingkap, kerusi, buaian dan pelbagai hiasan daripada kayu.

“Disebabkan terlalu minat dengan ukiran kayu saya mengambil keputusan mengikuti latihan selama tiga tahun di Institut

Kraf Negara (IKN), termasuk menjadi peserta kursus jangka pendek anjuran Pusat Kraftangan Malaysia.

“Dengan kemahiran yang ada, saya kini mampu menghasilkan beraneka produk daripada pelbagai jenis kayu seperti cengal, tembusu dan merbau untuk dijual,” katanya yang menetap di Kampung Chendor Sempadan, Kuantan.

Katanya, untuk menjadi pengukir kayu seseorang perlu memiliki minat, kesungguhan, ketekunan, kemahiran dan jiwa seni. Pengalaman juga akan membezakan hasil ukiran setiap individu.

Ada empat jenis ukiran kayu iaitu tebuk tembus, separuh tembus, kerawang dan ukiran halus. Setiap jenis ukiran mempunyai keistimewaan tersendiri yang hanya dapat dinilai oleh peminat produk itu.

Menurut Marhaja, untuk menghasilkan ukiran yang menarik dan berkualiti, jenis kayu memainkan peranan utama. Jenis kayu yang biasa digunakan adalah cengal, tembusu, meranti, rengas dan nangka.

Pelanggan boleh memilih corak atau jenis ukiran yang digemari sama ada berunsurkan tumbuhan, haiwan atau pemandangan. Ia banyak dipengaruhi oleh agama, kepercayaan dan hiasan.

“Saya lebih mahir menghasilkan ukiran separuh tembus yang lebih banyak menggunakan pelbagai peralatan tangan seperti tukul dan pahat. Beberapa jenis mesin moden turut digunakan untuk mempercepatkan lagi tugas.

“Walaupun terpaksa mengambil masa antara dua hari hingga seminggu untuk menyiapkan tempahan bergantung beberapa faktor, perasaan puas akan terasa apabila dapat dijual dengan harga mahal.

“Harga sesuatu ukiran bergantung kepada jenis ukiran, saiz, jenis kayu dan tempoh untuk menghasilkannya. Kayu cengal yang mahal dan sukar didapati menyebabkan harga produk dihasilkan turut melambung tinggi,” katanya yang sebelum ini pernah mendapat tunjuk ajar daripada pengukir Thailand.

Teruskan kemahiran ayah

Menurut ibu kepada seorang bayi perempuan berusia setahun itu, ukiran tebuk tembus dan separuh tembus turut dihasilkan dalam bentuk dua dan tiga dimensi yang memerlukan kemahiran dan kesabaran tinggi.

Katanya, dalam tempoh enam tahun terbabit dalam bidang ukiran kayu dia sudah menghasilkan lebih 200 ukiran pelbagai saiz dan bentuk. Tempahan kini banyak diterima bagi menghasilkan ukiran pada pintu.

Marhaja berkata, selain menghasilkan ukiran menggunakan peralatan tangan, dia juga mampu mengendalikan pelbagai peralatan moden serta mesin dengan bantuan bapanya.

“Saya boleh menggunakan pelbagai jenis mesin untuk tujuan menebuk lubang, memotong, mengukir, membelah dan melicinkan permukaan kayu.

“Kemahiran menggunakan mesin akan memudahkan dan mempercepatkan lagi kerja mengukir terutama apabila mendapat tempahan yang banyak dalam satu masa.

“Saya perlu berhati-hati setiap kali menggunakan mesin, sedikit kecuaian saja akan mengundang perkara yang tidak diingini,” kata anak keempat daripada 10 beradik itu.

Menurutnya, jari terkena pahat hingga berdarah dan tangan terseliuh antara pengalaman pahit dilalui sepanjang terbabit dalam bidang ukiran kayu yang kini semakin terpinggir dan dilupakan masyarakat negara ini.

Katanya, golongan muda hari ini tidak ramai yang berminat dengan kerja kraftangan terutama bidang ukiran kayu yang dikatakan hanya sesuai dilakukan individu tertentu.

Menurutnya, pendapatan daripada hasil ukiran kayu agak lumayan jika dilakukan secara serius dengan menerima tempahan pelbagai produk selain dipasarkan ke luar negara termasuk istana serta muzium.

Marhaja berkata, sebagai menyokong kempen Tahun Melawat Pahang 2017 dia turut menerima kehadiran pelancong yang ingin melihat lebih dekat aktiviti ukiran kayu dihasilkan di bengkelnya.

Sementara itu, Muhammad berkata, dia akan terus mencurahkan segala kemahiran dimiliki kepada anaknya bagi memastikan Marhaja muncul antara pengukir terbaik di negara ini satu hari nanti. Kalau boleh dia mahu kemahiran ini menjadi warisan keluarga.

“Saya yakin dengan minat dan kesungguhan akan menjadikan Marhaja lebih cepat berjaya berbanding individu lain.

“Kebolehan menggunakan peralatan moden juga menjadi kelebihan kepadanya untuk menghasilkan ukiran berkualiti pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 11:05 AM