ZURAIDA  (dua dari kiri) melawat  gerai pameran selepas majlis pelancaran DAKN 2030 di Putrajaya.
ZURAIDA (dua dari kiri) melawat gerai pameran selepas majlis pelancaran DAKN 2030 di Putrajaya.
Oleh Mahanum Abdul Aziz


DASAR Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) menggariskan hala tuju pembangunan industri agrikomoditi negara yang merangkumi lapan komoditi utama.

Dasar diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Januari lalu itu adalah kesinambungan kepada Dasar Komoditi Negara (DKN) 2011-2020.

Penggubalan dan hala tuju dasar itu berteraskan kepada Agenda Nasional seperti Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Rancangan Fizikal Negara Ke-3 (RFN3).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, DAKN 2030 digubal bagi memastikan sektor itu terus dipacu dan memberi sumbangan secara berterusan kepada negara melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan eksport.

Katanya, pada masa sama, DAKN 2030 dijangka dapat membangunkan rakyat dengan pengurangan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan, terutama bagi masyarakat luar bandar.

"Secara keseluruhan, DAKN 2030 merangkumi lima teras utama iaitu kemampanan, produktiviti, penjanaan nilai, pembangunan pasaran dan keterangkuman dengan 14 indikator dan sasaran keseluruhan.

"Lapan komoditi dan empat keutamaan rentas sektor mengandungi 130 strategi dan 112 indikator dan sasaran," katanya merasmikan DAKN 2030, semalam.

DAKN 2030 turut menyenaraikan 11 program utama dan memberi tumpuan untuk menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan agrikomoditi dan mempertingkatkan penerimagunaan ekonomi kitaran.

Bagi memastikan sektor itu terus kukuh dan mampan, Rangka DAKN 2030 digubal dengan tiga komponen utama berdasarkan Hala Tuju Strategik keseluruhan sektor agrikomoditi, Aspirasi DAKN 2030 dan Keutamaan Rentas Sektor.

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga menganjurkan Sidang Kemuncak dan Ekspo Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACEs) pada pertengahan tahun ini dengan menghimpunkan semua sektor agrikomoditi di bawah satu ekspo bertaraf antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 7:00 AM