KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 109, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Labuhan Kerteh. FOTO Rosli Ilham
KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 109, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Labuhan Kerteh. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Chukai: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 109, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Labuhan Kerteh, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Che Malias Harun, 69, maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian dalaman badan.

Isterinya, Missroheemah Dueloh, 51, warga negara Thailand yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian, suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Merchang, Marang menuju ke kediamannya di Kampung Geliga.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Bezza dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas selepas melalui satu selekoh di situ.

Kereta itu terbalik sehingga menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang manakala isterinya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 12:18 PM