KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
KENDERAAN yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“Tuhan sisih bayi itu daripada maut, biarpun tercampak dia hanya mengalami luka kecil di tangan dan muka.

“Saya memangku dan mendodoikannya sementara menunggu ketibaan ambulans,” kata warga emas Khalijah Samat, 62, yang kebetulan lalu ketika kemalangan itu berlaku.

Bayi terbabit, Muhammad Attar Mohd Badrul Ridhzuan, 1, terselamat sementara bapanya, Mohd Badrul Ridhzuan Rosman, 27, maut dalam kemalangan di Kilometer 108, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Labuhan, hari ini.

Kemalangan 8.45 pagi itu berlaku apabila kereta dinaiki dua beranak itu terbabas dan berpusing yang menyebabkan dua beranak itu tercampak keluar.

Ketika kejadian, Mohd Badrul Ridhzuan yang berasal dari Kemaman sempat menghantar isterinya yang bekerja di Paka dan dalam perjalanan pulang dua beranak itu terbabit kemalangan.

Khalijah berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya dalam perjalanan ke Kemaman sebelum terserempak dengan kemalangan itu.

“Saya melihat seorang telah mengangkat bayi yang tercampak itu sebelum saya minta pemuda itu menyelamatkan ayah bayi itu. Kemudian saya mengambil alih memangku bayi itu.

“Bayi itu pada mulanya kuat menangis tetapi dengan tiba-tiba berhenti menangis. Saya bimbang kemungkinan dia mengalami kecederaan dalaman dan dengan serta merta saya minta orang ramai segera menghubungi ambulans,” katanya.

Katanya, kira-kira 15 minit selepas itu, ambulans tiba dan dia terus menyerahkan bayi itu kepada jururawat serta meminta bayi itu segera dibawa ke hospital.

“Bapa kepada bayi terbabit yang cedera di kepala sudah tidak bergerak dan pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan akhirnya mengesahkan dia telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, ibu kepada bayi terbabit kelihatan masih bersedih selepas mengetahui kematian suaminya.

Beberapa ahli keluarga wanita itu mendakwa ibu bayi terbabit terlalu sedih sambil berharap agar media tidak mengganggunya.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kereta yang dipandu mangsa terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum berpusing dan terbalik.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa dan bayinya yang duduk di tempat duduk belakang tercampak keluar dari kenderaan.

Katanya,bayi terbabit dibawa ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk rawatan lanjut manakala jenazah bapa bayi itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita berkaitan:

Bayi selamat, ayah maut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 7:04 PM