KERETA terbabit dalam kemalangan di Kilometer 108, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Labuhan. FOTO Rosli Ilham
KERETA terbabit dalam kemalangan di Kilometer 108, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Labuhan. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


AYAH maut manakala anaknya selamat biarpun kedua-dua beranak itu tercampak keluar dari kereta selepas terbabit dalam kemalangan, di Kilometer 108, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Labuhan, Kemaman, 8.45 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, Mohd Badrul Ridhzuan Rosman, 27, yang parah di kepala maut di tempat kejadian manakala anaknya, Muhammad Attar Mohd Badrul Ridhzuan, 1, mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Kemaman dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya yang bekerja di Paka.

“Setibanya di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa terbabas dan merempuh pembahagi jalan sebelum berpusing dan terbalik.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa dan bayinya itu yang duduk di bahagian tempat duduk belakang tercampak keluar dari kenderaan,” katanya.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian manakala bayinya itu dibawa ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk rawatan lanjut.

“Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 6:38 PM