Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Melihat kepada kepentingan dan manfaat institusi wakaf, sebuah pelan holistik, Pelan Induk Wakaf Nasional akan dirangka dalam memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasrat berkenaan seperti digariskan dalam Fokus Kelima dan Keenam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) berhubung peranan kritikal yang perlu dimainkan institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

Katanya, ia juga selaras dengan usaha mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera.

"Kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta dalam Bajet 2022 bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Wakaf Pertanian, Wakaf Bencana dan Wakaf Felda juga akan disenaraikan dalam Bajet 2022.

"Kerajaan juga sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia.

"Dalam kita menggembleng pendekatan whole-of-nation, institusi wakaf perlu bersama-sama memainkan peranan untuk melonjakkan sosioekonomi komuniti sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika Majlis Pelancaran Waqaf Felda di Menara Felda, hari ini.

ISMAIL Sabri diiringi Idris dan Idris Jusoh bergambar bersama Sijil Keahlian Wakaf Felda. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri diiringi Idris dan Idris Jusoh bergambar bersama Sijil Keahlian Wakaf Felda. FOTO Hairul Anuar Rahim

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad; Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Beliau berkata, kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional kerana keupayaan konsep wakaf mampu melonjakkan ekonomi masyarakat dan negara.

"Iltizam ini boleh dicapai melalui Waqaf Felda yang bakal dilaksanakan nanti dengan menggunakan konsep wakaf korporat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 5:35 PM