Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (kanan) ketika majlis pelancaran Waqaf Saham Larkin Sentral dan Santapan Berbuka Puasa Johor Corporation di Persada Johor, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim (kanan) ketika majlis pelancaran Waqaf Saham Larkin Sentral dan Santapan Berbuka Puasa Johor Corporation di Persada Johor, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Mohd Sabran Md Sani


JOHOR Corporation (JCorp) menerusi Waqaf An-Nur Corporation Berhad melancarkan Prospektus Waqaf Saham Larkin Sentral yang juga instrumen wakaf terbaru ditawarkan dalam bentuk saham di Persada Johor, hari ini.

Pelancaran saham yang disempurnakan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim itu adalah detik bersejarah kerana ia wakaf saham tawaran awam pertama di dunia.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia membabitkan penawaran saham oleh Larkin Sentral Property Berhad kepada institusi dan orang awam.

"Prospektus Waqaf Saham ini didaftarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC), maka segala proses penawaran, pengurusan serta laporan dana wakaf ini akan dibuat dengan lebih tersusun, profesional dan telus," katanya dalam ucapan.

Turut mencemar duli, Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi JCorp berkata, wakaf saham itu diperkenalkan dengan matlamat mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan membiayai pembangunan naik taraf dan baik pulih Bangunan Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin Sentral.

"Ini termasuk kos pembelian tanah, pembinaan ruang letak kereta bertingkat dan beberapa lot perniagaan yang akan disewakan kepada ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan untuk berniaga dengan kadar sewa berpatutan.

"Menerusi wakaf saham ini, sebanyak RM85 juta tawaran saham baru akan diperkenalkan membabitkan saham berjumlah 850 juta unit yang ditawarkan pada harga 10 sen seunit," katanya.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, saham wakaf ini akan dibuka kepada segenap lapisan masyarakat, sama ada institusi dan orang awam dengan kadar minimum sebanyak RM100.

"Bagi individu yang mewakafkan saham ini, mereka akan mendapat insentif potongan cukai pendapatan sehingga tujuh peratus, manakala pewakaf institusi akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat masing-masing.

"Kita akan bergerak secara serius untuk mencapai sasaran ini kerana projek ini bukan saja memberikan ruang untuk kita beramal, namun apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pengunjung setahun atau bersamaan lebih 26,000 pengunjung sehari," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya saham ini, ia membolehkan pewakaf mengetahui mengenai perkembangan pembangunan di Larkin Sentral seperti dijanjikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 8:27 PM