IDRIS Jusoh ketika majlis ramah mesra besama penduduk di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
IDRIS Jusoh ketika majlis ramah mesra besama penduduk di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mahaizura Abd Malik


Kota Tinggi: FELDA akan menyelesaikan isu pembinaan Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai di Johor menggunakan kaedah baharu bagi memastikan projek itu dapat disiapkan segera.

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata ketika ini hanya dua projek PGBF di Johor belum diselesaikan membabitkan FELDA Bukit Aping Timur dan FELDA Pasak.

"Dulu kita sudah selesaikan isu rumah terbengkalai yang siap lebih 70 peratus yang kini sudah diduduki dan sekarang kita memasuki fasa kedua membabitkan rumah yang siap di bawah 70 peratus.

"Fasa ketiga kita akan mulakan tahun ini membabitkan dua projek terbengkalai yang masih sangkut di Johor iaitu di Bukit Aping Timur dan Pasak.

"Ini isu lama dan sedang diusahakan. Kita akan pastikan isu itu diselesaikan menggunakan kaedah berlainan berbanding lama," katanya pada sidang media selepas Program Ramah Mesra Bersama Ketua Blok Felda Air Tawar 2, di sini hari ini.

Secara keseluruhannya Idris berkata, banyak perubahan dibawa untuk FELDA antaranya kejayaan menyelesaikan sebahagian besar hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion.

"Keseluruhannya kita lihat banyak peningkatan dibuat antaranya akaun peneroka yang sudah mencapai 80 peratus selesai daripada RM8.3 bilion hutang peneroka.

"Ini memakan masa, perincian, usaha dan komitmen berterusan diberikan petugas FELDA. Selain itu, isu pengambilan balik tanah Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) FGV Holdings Bhd (FGV) itu juga banyak kita selesaikan dari 34 peratus sekarang mencapai 80 peratus," katanya.

Kini katanya, FELDA mengorak langkah untuk memperluaskan program wakaf dalam kalanga peneroka.

"Peneroka mula mengubah fikiran mereka apabila memberi sumbangan sedekah RM300 dan sekarang kita mengorak ke hadapan dalam program wakaf dengan meniru model Johor Wakaf Korporat.

"Kita bukan hanya mahu FELDA berjaya tetapi kejayaan FELDA masa depan tersenarai dalam syarikat Fortune Global 500 pada tahun 2040," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 7:00 PM