IDRIS (tengah), diiringi Calon BN bagi DUN Johor Lama, Norlizah  (dua, kanan), ketika majlis ramah mesra bersama penduduk. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
IDRIS (tengah), diiringi Calon BN bagi DUN Johor Lama, Norlizah (dua, kanan), ketika majlis ramah mesra bersama penduduk. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mahaizura Abd Malik


Kota Tinggi: Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh yakin Barisan Nasional (BN) dan Umno mampu menarik sokongan masyarakat Felda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini.

Idris berkata, petunjuk itu berdasarkan sokongan positif diberikan masyarakat Felda selepas beberapa penambahbaikan dibuat untuk kebajikan masyarakat Felda.

"Alhamdulillah saya lihat (kempen BN di Felda) sambutan baik keseluruhan peneroka teruja dengan harga sawit begitu tinggi iaitu RM1,800 ada yang cecah RM1,900.

"Nampaknya dengan apa yang berlaku di Felda seperti kemudahan mereka bertambah baik serta pentadbiran dan perladangan diurus dengan baik, kita lihat sokongan peneroka bersama kerajaan Pusat, insya-Allah semakin positif," katanya pada sidang media selepas Program Ramah Mesra Bersama Ketua Blok Felda Air Tawar 2, di sini, hari ini.

Turut hadir calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor Lama, Norlizah Noh.

Mengenai isu perdebatan Felda, Idris menyifatkan ia hanya membuang masa, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya sendiri tak suka debat, saya lebih suka buat kerja. Ia jelas kalau kita lihat lima enam perkara ada dipaparkan dalam perancangan Felda. Jadi buang masa debat-debat ini tapi atas Najib dan Azmin lah," katanya.

Sementara itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Besut menyelar kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Felda sering dijadikan modal Umno dan BN setiap kali menghadapi pilihan raya.

"Apa yang dia (Anwar) buat untuk Felda semasa PH memerintah dulu? Itu saya tanya dia balik," katanya.

Khamis lalu Anwar ketika menyertai kempen di Dun Tanjung Surat dilaporkan berkata, Umno dan BN akan menabur janji menyelesaikan isu Felda termasuk penempatan generasi kedua setiap kali menghadapi pilihan raya.

Namun dakwa ketua pembangkang itu, perkara berkenaan tidak pernah selesai dengan baik sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 8:05 PM