Noor Aini tidak menyangka menantunya ditemui lemas di kawasan banjir berhampiran Kampung Seluang. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Noor Aini tidak menyangka menantunya ditemui lemas di kawasan banjir berhampiran Kampung Seluang. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: "Arwah sempat berbalas WhatsApp dengan isterinya, Nordiana Md Razi sehingga 12 tengah hari semalam sebelum dia senyap (gagal dihubungi).

"Arwah biasanya datang bantu makcik di kedai, tetapi semalam makcik tak tahu dia pergi ke mana sebelum dilaporkan dia hilang di kawasan banjir itu," kata Noor Aini Mustafa, 45.

Noor Aini adalah ibu mentua kepada korban pertama banjir Kedah, Omar Ismail, 22, yang ditemui lemas di kawasan bendang ditenggelami air di Sungai Seluang, Mukim Binjai, hari ini.

Jasad mangsa ditemui pada 9.20 pagi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah yang melakukan pencarian di permukaan air di sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh semalam.

Noor Aini berkata, menantunya dipercayai keluar dari rumah di Kampung Bukit Berangan, di sini, pada 9 pagi semalam dan pergi ke rumah ibunya dahulu sebelum pergi ke kedai makan miliknya di kampung berkenaan.

Katanya, dia hanya mengetahui menantunya hilang selepas penduduk kampung datang memberitahunya pada 3 petang semalam.

"Ada yang cuba selam mencarinya, tetapi tak jumpa sebelum dia ditemui lemas hari ini.

"Arwah mempunyai seorang anak berusia setahun dan dia seorang menantu yang sangat baik serta rajin," katanya.

Penduduk Kampung Bukit Berangan, Mat Isa Abdul Hamid, 51, berkata, sebaik menerima maklumat Omar terjatuh di kawasan banjir di Kampung Seluang, dia bersama beberapa penduduk turut serta melakukan pencarian mangsa sejak petang semalam.

Katanya, dia mengetahui berita itu melalui kumpulan WhatsApp di kampung itu pada 3.30 petang.

"Saya kenal arwah dan terkejut mendengar dia terjatuh di kawasan banjir dan turut serta mencarinya di kawasan itu bersama pasukan penyelamat.

"Kawasan tempat dia jatuh ada pusaran air kerana kawasan bendang bercampur dengan air sungai menyebabkan air laju," katanya ketika ditemui di sini.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh di kawasan sawah dipenuhi air akibat banjir sebelum dihanyut ke sungai berhampiran ketika memukat ikan di Kampung Kubu.

Dalam kejadian 3 petang semalam, mangsa dikatakan bersama bapa mentuanya memukat ikan di lokasi kejadian sebelum dihanyutkan arus menghala ke kawasan sawah bersebelahan sungai itu.

Jasadnya ditemui pasukan PPDA JBPM Kedah 9.20 pagi hari ini kira-kira tiga meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Berita berkaitan

'Korban pertama banjir di Kedah'

'Lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di kawasan banjir'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 4:03 PM