MANGSA banjir kilat di Masjid Sungai Seluang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan paras air belum surut sepenuhnya. FOTO ihsan APM
MANGSA banjir kilat di Masjid Sungai Seluang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan paras air belum surut sepenuhnya. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Jumlah mangsa banjir di Kedah menurun selepas lima pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu tiga di Kuala Muda dan dua di Kulim, ditutup sepenuhnya semalam.

Ketua Bahagian Operasi Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini, hanya satu PPS masih dibuka iaitu di Masjid Sungai Seluang, Kulim.

Beliau berkata, keadaan cuaca semakin baik menyebabkan paras air menurun.

"Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Masjid Sungai Seluang adalah seramai 105 orang daripada 32 keluarga.

"Bagaimanapun, pemantauan akan dilakukan sekiranya hujan lebat berlaku di kawasan berisiko rendah di daerah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, enam PPS dibuka di Kedah iaitu masing-masing tiga di Kuala Muda dan Kulim berikutan paras air yang meningkat ekoran hujan lebat yang melanda sejak petang kelmarin.

Bagaimanapun, lima daripadanya sudah ditutup secara berperingkat semalam.

Keseluruhan mangsa banjir di negeri ini semalam membabitkan 691 daripada 183 keluarga di dua daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 10:10 AM