Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: "Ayah sempat hantar makanan untuk berbuka puasa petang semalam, tetapi saya tidak sempat menemuinya," kata Muhammad Hazim Zugani, 17.

Hazim adalah anak ketiga Zugani Yasin, 51, yang dikhuatiri lemas ketika memukat ikan di pantai Kuala Baru, di sini, pada 12.45 tengah malam tadi.

Pelajar Tingkata Lima Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu itu berkata, bapanya hanya menghantar makanan di pondok pengawal di sekolahnya.

"Kali terakhir saya jumpa ayah sebelum Ramadan ketika pulang bercuti di kampung.

"Bapa saudara datang mengambil saya kira-kira 2 pagi tadi di asrama untuk dibawa ke lokasi pencarian ayah yang dikhuatiri lemas," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian, di sini, hari ini.

Sementara itu, tekong bot, Yusof Abdul Muti, 55, berkata pada awalnya mereka merancang untuk memukat ikan pada malam Jumaat lalu, tetapi ditunda ke malam tadi.

"Sebaik sahaja selesai solat tarawih, kami terus datang ke sini untuk memukat ikan dengan membawa pelbagai peralatan.

"Sepanjang tempoh empat tahun mengenali cikgu (Zugani), dia sangat suka melakukan aktiviti memukat ikan dan mencari ketam di kawasan ini," katanya.

Katanya, kawasan Kampung Fikri hingga ke pantai Kuala Baru, Mangkuk menjadi lokasi kegemaran mangsa untuk menangkap ikan.

"Ketika kejadian saya berada dalam bot di seberang sungai sekitar Kuala Baru sedang memukat ikan, manakala cikgu dan beberapa rakan menyeberangi sungai dengan berjalan kerana air surut," katanya.

Rakan mangsa, Mat Rawi Dolah, 49, berkata dia bersama mangsa serta dua lagi rakan mereka berjalan menyeberangi sungai itu.

"Saya berada di belakang, sementara cikgu di bahagian paling depan kerana dia sudah biasa dengan kawasan ini dan menjadi sebagai petunjuk jalan.

"Semasa kami mengharungi sungai, cikgu tiba-tiba tergelincir dari laluan asal dan dia sempat meminta tolong ketika terjatuh.

"Salah seorang rakan kami cuba menyelamatkannya, namun gagal kerana arus deras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 7:04 PM
Operasi mencari dan menyelamat seorang guru dikuatiri lemas ketika keluar memukat di Pantai Kuala Baru, Mangkuk turut disertai orang awam. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Operasi mencari dan menyelamat seorang guru dikuatiri lemas ketika keluar memukat di Pantai Kuala Baru, Mangkuk turut disertai orang awam. FOTO Nurul Fatihah Sulaini