ANTARA jersi tiruan yang dirampas KPDNHEP sejak 1 Januari hingga 31 Oktober lalu. FOTO ihsan KPDNHEP
ANTARA jersi tiruan yang dirampas KPDNHEP sejak 1 Januari hingga 31 Oktober lalu. FOTO ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan pemantauan penjualan jersi tiruan di seluruh negara sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2022 yang bakal berlangsung pada 20 November hingga 18 Disember nanti.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, sebanyak 526 kes membabitkan nilai rampasan berjumlah RM11.6 juta direkodkan berkaitan pakaian tiruan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu.

"Tindakan penguatkuasaan turut diambil membabitkan pelbagai jenis barangan termasuk makanan atau minuman, kosmetik, bahan petroleum, barang elektrik, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, perkakasan komputer dan lain-lain.

"Malah, KPDNHEP sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagang berdaftar bagi memastikan setiap aduan dan tindakan penguatkuasaan diambil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan termasuk aktiviti penjualan barang tiruan yang dijalankan secara dalam talian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pihak yang didapati melakukan kesalahan menjalankan aktiviti penjualan barangan tiruan boleh diambil tindakan dan disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun bagi perseorangan.

"Bagi suatu pertubuhan atau perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang disyaki tiruan," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP memberi amaran kepada semua peniaga supaya sentiasa mematuhi peraturan termasuk tidak menjual jersi tiruan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang itu.

"Selain tindakan di bawah Akta Cap Dagangan 2019, KPDNHEP akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas tanpa kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Tindakan ini boleh diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang didapati bersalah dalam membekal dan menjual barangan tiruan atau menyediakan serta menyewakan premis bagi tujuan aktiviti penjualan barangan tiruan jika disabitkan kesalahan," katanya.

Beliau juga menasihatkan pengguna supaya sentiasa berhati-hati dalam membuat pembelian termasuk secara dalam talian dengan tidak mudah terpedaya serta tidak menyokong penjualan barangan tiruan.

"Ini kerana tindakan itu dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan keselamatan pengguna itu sendiri.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan barangan tiruan boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 6:41 PM