PENUNGGANG motosikal maut selepas merempuh kereta di Jalan Bukit Karangan, Kulim, hari ini. FOTO ihsan polis.
PENUNGGANG motosikal maut selepas merempuh kereta di Jalan Bukit Karangan, Kulim, hari ini. FOTO ihsan polis.
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Bukit Karangan, dekat sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada 8.10 pagi itu, mangsa Mohd Saiful Hezri Mohamad, 37, yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan muka.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, mangsa bekerja sebagai operator kilang dan berasal dari Kota Sarang Semut, Alor Setar.

"Siasatan awal mendapati motosikal mangsa dan kereta dipandu lelaki berusia 29 tahun bekerja sebagai pemandu jentolak itu datang dari arah sama.

"Mereka dalam perjalanan dari Kuala Ketil menuju ke Titi Karangan dan ketika itu trafik agak perlahan namun sibuk," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penunggang motosikal hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh Proton Saga putih menyebabkan dia parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 9:28 PM