KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan maut. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan maut. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad


WANITA maut selepas motosikal ditunggang merempuh pintu sebuah kereta yang dibuka secara tiba-tiba ketika berada di bahu jalan sebelum terjatuh lalu digilis sebuah van di Jalan Merbau Pulas-Padang Serai, Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, dalam kejadian 6.20 petang, mangsa Noraini Ahmad, 60, beralamat di Kampung Sungai Karangan, Padang Serai, maut di tempat kejadian.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu kereta yang berhenti di bahu jalan dan dengan cuai membuka pintu di bahagian pemandu sehingga menyebabkan berlaku pelanggaran dengan mangsa yang datang dari arah belakang.

“Akibat pelanggaran mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah van yang datang dari arah sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan kemalangan, penunggang motosikal maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan yang dialaminya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 9:04 AM