FOTO hiasan
FOTO hiasan
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Empat lelaki maut dalam tiga kemalangan berasingan di sekitar daerah ini, semalam.

Dalam kejadian pertama jam 7.20 malam di Jalan Bukit Chong, seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah lori.

Mangsa, Zakaria Saad, 53, bekerja sebagai penyelia ladang parah di badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal berkenaan dari Batu Putih menghala ke Sungai Petani manakala pemandu lori pula dari Ladang Kuala Ketil menghala ke Bukit Chong.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal motosikalnya dan masuk laluan bertentangan sebelum bertembung lori dipandu lelai berusia 28 tahun," katanya.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan, dua pekerja kilang maut selepas Perodua Myvi dinaiki mereka merempuh tiang elektrik di Jalan Bukit Kukus.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pemandu, M Tamese, 27, dan penumpang N Moogan, 25 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Sazalee berkata, siasatan mendapati pemandu kereta berkenaan terbabas ketika melalui selekoh sebelum merempiuh tiang elektrik.

Menurutnya, dalam satu lagi kemalangan seorang lelaki, A Divyenraj, 24, maut selepas motosikal ditunggang bertembung kereta di Jalan Paya Besar, Taman Kucai.

"Mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor meninggal dunia akibat parah di kepala manakala pemandu kereta hanya mengalami kecederaan kecil.

"Siasatan mendapati mangsa dari Paya Besar menghala ke Kulim manakala pemandu kereta pula dari arah bertentangan," katanya.

Menurutnya, semua mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk ujian saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 3:33 PM