Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki yang juga pesakit mental ditemukan maut di kawasan parkir motosikal selepas dipercayai jatuh dari tingkat 14 sebuah flat di Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 11.10 pagi.

"Susulan maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Besi ke lokasi kejadian.

"Pemeriksaan di lokasi mendapati mangsa yang berusia lingkungan 30 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring dan sudah meninggal dunia.

"Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat 14 blok bangunan flat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Idzam berkata, soal siasat terhadap isteri mangsa mendapati lelaki berkenaan adalah pesakit mental dan masih menerima rawatan psikiatri di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Siasatan berhubung kejadian ini sedang dilakukan bagi mengetahui punca kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ketua Polis Balai Polis Sungai Besi, Inspektor Muhammad Sallehuddin Drahaman di talian 03-90582222 untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 4:27 PM