LOKASI kejadian wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Taman Sungai Besi, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan PDRM.
LOKASI kejadian wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Taman Sungai Besi, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Ihsan PDRM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang wanita meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah kondominium di Taman Sungai Besi, Cheras, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 5.48 petang tadi.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Salak Selatan Baru bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang wanita berusia 19 tahun dalam keadaan terbaring di jalan berhampiran lobi kondominium terbabit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, Cheras, di sini, yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.

"Keterangan waris mangsa dan saksi kejadian sudah diambil bagi membantu siasatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik HCTM untuk proses bedah siasat," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Ketua Polis Balai Salak Selatan Baru, Inspektor Khairul Asraf Abu Kasim di talian 03-79815053 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 11:39 PM