ANTARA tablet dipercayai digunakan untuk kegiatan judi dalam talian yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA tablet dipercayai digunakan untuk kegiatan judi dalam talian yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Desa Tasik, Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang juga penjaga premis bagi kegiatan judi dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Desa Tasik, Sungai Besi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, serbuan di lokasi berkenaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis yang diketuai oleh Ketua Balai Polis Sungai Besi, Inspektor Muhammad Sallehuddin Drahaman jam 11 malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan merampas lima tablet bersama tetikus serta papan kekunci yang disyaki digunakan untuk kegiatan perjudian.

"Selain itu, kami turut merampas satu modem dan wang tunai berjumlah RM120 dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, premis itu dipercayai mula beroperasi kira-kira seminggu lalu.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan judi dalam talian di daerah ini diminta menghubungi Ketua Polis Balai Polis Sungai Besi, Muhammad Sallehuddin di talian 03- 90582222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 1:27 PM