Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pengawal keselamatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh dan bakar seorang wanita dalam kawasan sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras di sini, kelmarin direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki berusia 30-an itu direman bermula semalam hingga 19 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa berusia 25 tahun berkenaan tidak mempunyai apa-apa hubungan.

"Hasil maklumat diperolehi, mangsa didapati bekerja sejak Februari lalu sebagai penyelia kedai buku di sekolah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, punca kejadian kebakaran itu masih dalam siasatan pihak bomba.

"Punca kematian dan kecederaan dialami oleh mangsa belum diperolehi memandangkan laporan bedah siasat masih belum diterima.

"Motif kejadian juga masih dalam siasatan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita ditemukan rentung dalam bengkel pertanian kemahiran hidup di sebuah sekolah menengah kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 12:18 PM