RUMAH didiami mangsa yang terletak di tingkat 21 blok D flat berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
RUMAH didiami mangsa yang terletak di tingkat 21 blok D flat berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis masih belum mengenal pasti identiti lelaki yang ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah unit di sebuah flat di Bandar Damansara Perdana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 9.12 malam tadi.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di tingkat 21, blok D, flat berkenaan yang membawa kepada penemuan mayat lelaki dalam keadaan tertiarap.

"Setakat ini, butiran penuh mangsa dianggarkan berusia 30-an itu masih belum dapat dikenal pasti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, mayat mangsa terbakar kira-kira 40 peratus itu ditemukan berdekatan pintu rumah dan ketika kejadian, lelaki itu dipercayai cuba menyelamatkan diri.

"Pihak bomba berdepan kesukaran memadamkan kebakaran itu pada mulanya kerana masalah tekanan air rendah.

"Sebaik kebakaran berjaya dipadamkan, pemeriksaan dilakukan dan mendapati rumah berkenaan terbakar hampir 90 peratus," katanya.

Beliau berkata, pihak forensik turut dipanggil bagi membantu siasatan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan dilakukan, terdapat dua sampel diambil untuk analisis iaitu cebisan baju dan kulit mayat.

"Hasil keterangan saksi kejadian memaklumkan terdengar bunyi letupan yang kuat dari rumah mangsa, serta bunyi kaca pecah sebelum mendapati berlaku kebakaran di kediaman itu.

"Saksi cuba mendapatkan bantuan tetapi gagal masuk ke rumah itu kerana api sudah marak," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

"Orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Sarjan Ahmad Sabran Abdullah di talian 010-5585040 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 10:26 AM