GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara bagi murid tahun satu hingga enam akan diteruskan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga takwim persekolahan 2021 berakhir.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan Covid-19 dan perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) khususnya dari aspek keselamatan murid dan tenaga pengajar KAFA.

Menurutnya, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon tahun 2020 dan 2021 subjek bertulis yang dijadualkan serentak pada 15 hingga 18 November akan diganti dengan pelaksanaan berbentuk penilaian sepenuhnya.

Katanya, keputusan ini tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada subjek yang dipelajari bermula dari tahun satu hingga enam.

"Kemenjadian murid-murid di dalam pendidikan mampu dinilai melalui pelbagai kaedah. Justeru JAKIM akan memaklumkan kaedah serta tarikh pelaksanaan bagi menggantikan ujian bertulis itu, "katanya tadi.

Pada12 September lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Oktober.

Sementara itu, pada 7 September lalu JAKIM dengan kerjasama semua agensi terbabit menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya dalam memastikan aktiviti Pendidikan KAFA berjalan lancar.

Idris berkata, pelaksanaan KAFA di seluruh negara juga berdasarkan kepada takwim persekolahan arus perdana.

Menurutnya, pelaksanaan UPKK secara penilaian ini tidak akan menjejaskan mutu terhadap tahap penguasaan murid dan peluang untuk ke sekolah menengah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 6:48 PM