Tinjauan pembukaan semula sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Palong 14. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Tinjauan pembukaan semula sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Palong 14. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Amin Jalil


IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyambut baik langkah kerajaan tidak memperkenalkan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata, ia selari dengan hasrat pertubuhan itu yang sudah lama menentang pelaksanaan PPSMI yang bermula dari 2003 hingga 2012.

Katanya, pihaknya melihat pengajaran dan pembelajaran (PnP) Sains dan Matematik melalui bahasa ibunda adalah terbukti lebih berkesan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.

"Kami (i-Guru) menyokong usaha mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah sebagai persediaan menghadapi pasaran kerjaya dunia yang meluas tetapi menyangkal faktor pengangguran disebabkan ketidakupayaan penguasaan dalam bahasa Inggeris.

"Sejarah dalam pendidikan negara juga membuktikan bahawa subjek sains dan matematik sudah diajar dalam Bahasa Melayu sejak tahun 70-an dengan jayanya tanpa sebarang masalah," katanya tadi.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, dalam jawapan bertulis beliau di Parlimen menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang untuk meneruskan PPSMI.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, kegagalan PPSMI dari 2007 hingga 2011 terbukti dalam ujian antarabangsa iaitu Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) apabila menjunam hampir 100 mata di bawah purata dunia.

Menurutnya, bagi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) Malaysia juga turut merosot walaupun memilih murid-murid dari program dwibahasa (DLP) Bahasa Inggeris untuk menduduki ujian berkenaan.

"Peningkatan prestasi hanya dapat dilihat kembali pada 2015 selepas PPSMI dimansuhkan pada 2012," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap kenyataan bertulis menteri berkenaan sebagai langkah pihak KPM mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan penguasaan Sains dan Matematik dalam kalangan murid di samping memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pedagogi terbaik dan berkesan.

Katanya, menjadikan sains dan matematik sebagai sasaran bukanlah jalan penyelesaian terbaik tetapi menyiapkan murid-murid yang mempunyai kompetensi penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, adalah jalan membina laluan kerjaya masa depan.

"Ia selaras dengan apa yang termaktub di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

"Justeru, i-Guru berharap sebarang keputusan berkaitan dasar pendidikan negara tidaklah dilakukan secara terburu-buru tetapi perlu mengambil kira pelbagai aspek demi masa depan generasi hari ini dan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 5:16 PM