GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


PEPERIKSAAN kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) bagi sesi persekolahan tahun 2020 akan dibatalkan.

Selain itu, semua sesi persekolahan Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Intergrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) dan Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) juga akan mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta guru terjamin.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata, pembatalan UPSRA yang dijadual pada 28 September 2020 sehingga 1 Oktober 2020 tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid-murid kepada ilmu diniyah yang diikuti bermula dari tahun 1 hingga tahun 6.

Katanya, kemenjadian murid di dalam pendidikan ilmu diniyah mampu dinilai melalui pelbagai kaedah.

“Justeru, bagi tujuan ini, Jawi akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis itu.

“Jawi merakamkan penghargaan kepada semua guru yang mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap dilaksanakan kepada lebih kurang 63,000 murid di SRA, Siraj dan Kafa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 11:45 AM