REMAJA yang diselamatkan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
REMAJA yang diselamatkan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tujuh remaja lelaki diselamatkan bomba selepas tersesat ketika melakukan aktiviti beriadah di Jeram Gunung Hitam, Hulu Langat di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 4.15 petang semalam.

"Kejadian membabitkan tujuh remaja berusia 18 tahun yang dikatakan tersesat dalam hutan ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan berkenaan.

"Kesemua mereka dapat dihubungi melalui talian telefon dan memaklumkan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, gerakan mencari menyelamat dilakukan oleh 28 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, Pasukan Pelbagai Kemahiran (Must) serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm).

Menurutnya, operasi turut disertai Pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan pasukan Penyelamat Bencana Malaysia.

"Kesemua mangsa berjaya ditemui oleh pasukan bomba dalam keadaan selamat pada jam 1.51 pagi.

"Operasi membawa keluar mangsa mengambil masa kira-kira empat jam sebelum tiba di kawasan luar tempat riadah itu jam 5.59 pagi tadi," katanya.

Katanya, kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 8:17 AM