ANGGOTA bomba berusaha membawa turun pendaki yang tersesat ketika mendaki Gunung Berembun. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha membawa turun pendaki yang tersesat ketika mendaki Gunung Berembun. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


SEORANG pendaki ditemui selamat di surau Lata Berembun selepas dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Berembun, Pantai di Seremban, semalam.

Wanita berusia 48 tahun itu ditemui oleh anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 11.30 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian 10.08 malam daripada rakan mangsa yang berjaya turun terlebih dahulu.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, mangsa bersama 11 rakan melakukan aktiviti pendakian di gunung berkenaan pada 9 pagi.

“11 pendaki berjaya turun pada 6 petang sementara mangsa dipercayai tersesat dan tidak dapat ditemui sehingga malam itu sebelum mereka menghubungi bomba untuk bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai 26 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Multi Skill Team (MUST) serta Pasukan Bomba Sukarela Pantai terbabit operasi SAR itu.

“Mereka tiba di lokasi 10.20 malam sebelum memulakan pencarian. Anggota BBP Seremban berjaya menemui mangsa di surau Lata Berembun,” katanya.

Katanya, mangsa dibawa turun dan tiba di kaki gunung pada 1.45 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 8:54 AM