ANTARA pendaki yang diselamatkan. FOTO Ihsan Bomba
ANTARA pendaki yang diselamatkan. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim


ENAM pendaki termasuk dua warga Singapura dan lelaki warga India diselamatkan selepas tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Tampin dekat Tampin, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, bomba menerima panggilan jam 5.12 petang sebelum menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

Katanya, berdasarkan maklumat diterima, tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 50 tahun tersesat ketika mendaki antara Gunung Datuk ke Gunung Tampin, selain seorang pendaki lelaki mengalami kekejangan otot.

“Operasi mencari dan menyelamat disertai 22 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin serta Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

“Anggota memulakan pendakian jam 5.41 petang dan menemui semua mangsa di Gunung Tampin. Anggota memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum dibawa turun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, semua mangsa berjaya dibawa turun pada 1.17 pagi.

Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pegawai perubatan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 11:09 AM