GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Pertubuhan Permuafakatan Pendidikan Malaysia (Me'Didik) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak membenarkan guru enggan divaksin mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka pada 3 Oktober ini.

Pengerusinya, Mohd Ridhwan Othman berkata, ia adalah antara langkah menghilangkan kegusaran kebanyakan ibu bapa yang bimbang tahap keselamatan anak mereka ketika di sekolah.

Beliau berkata, apapun jalan terbaik adalah memberi penerangan sehingga guru terbabit setuju menerima vaksin Covid-19.

"Guru adalah 'role model' yang perlu menunjukkan contoh terbaik, bukan sahaja kepada murid, tetapi masyarakat sekitar.

"Pengambilan vaksin adalah satu usaha untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19 yang lebih teruk.

"Jadi, langkah menghalang guru enggan menerima vaksin daripada mengajar secara bersemuka adalah salah satu kaedah buat masa ini, kerana ia meyakinkan ibu bapa bahawa persekitaran sekolah selamat buat anak mereka belajar," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Ridhwan berkata, kehadiran guru enggan divaksin di kawasan sekolah sebenarnya mengundang kegusaran ibu bapa.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan guru terbabit menguruskan kerja kursus murid secara dalam talian atau sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Kalau ada kelas PdPR diteruskan, mereka dicadangkan untuk kendalikan PdPR di lokasi berasingan bagi mengelak penularan kes Covid-19.

"Boleh buat kerja pekeranian, seperti masukkan kehadiran dalam sistem, masukkan data Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan sebagainya.

"Sebagai persediaan lain, sekiranya ada ibu bapa bergejala atau positif Covid-19, boleh segera memaklumkan kepada pihak sekolah dan tidak membenarkan anak mereka hadir bagi memastikan penularan wabak tidak berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:26 PM