Noorazura Abdul Rahman


Yan: Semua 2,500 guru yang enggan divaksin tetap perlu ke sekolah melakukan tugasan lain seperti biasa tetapi tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka 3 Oktober ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tindakan selanjutnya terhadap mereka akan dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selepas ini.

"Guru ini hanya tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka dalam kelas, tetapi mereka akan diberi tugas lain di sekolah kerana banyak lagi tugasan yang perlu dilakukan.

"Dalam masa yang sama kita juga sedang berbincang dengan JPA apa tindakan dan pendekatan selanjutnya untuk guru ini dan saya sendiri akan berhubung dengan sebahagian mereka bagi mendapat kepastian lanjut," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Nyak Gam yang terjejas akibat bencana kepala air di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan seramai 2,500 guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka di dalam kelas serta berinteraksi dengan pelajar apabila sesi persekolahan dibuka bulan hadapan.

Radzi berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan ibu bapa yakin bahawa persekitaran sekolah selamat untuk anak-anak mereka.

Dalam pada itu, Radzi menjelaskan bahawa tindakan pihaknya melaksanakan kaji selidik terhadap ibu bapa berkaitan kebenaran pemberian vaksin kepada pelajar adalah bagi mendapatkan gambaran awal berhubung perkara itu.

DATUK Dr Radzi Jidin (dua kiri) diiringi Guru Besar SK Haji Nyak Gam ketika meninjau keadaan sekolah yang terjejas. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Dr Radzi Jidin (dua kiri) diiringi Guru Besar SK Haji Nyak Gam ketika meninjau keadaan sekolah yang terjejas. FOTO Luqman Hakim Zubir

Katanya, ia bukan arahan yang dikeluarkan KPM memandangkan urusan proses pemberian vaksin adalah di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF).

"Kami di pihak kementerian ingin melihat secara umum gambaran awal daripada ibu bapa berkaitan hal ini dan dalam masa terdekat akan perolehi maklum balas ini keseluruhannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 1:24 PM