RADZI menyampaikan komputer riba kepada pelajar tingkatan tiga SMK Bandar Samariang, Nabila Omar. FOTO Mohd Roji Kawi.
RADZI menyampaikan komputer riba kepada pelajar tingkatan tiga SMK Bandar Samariang, Nabila Omar. FOTO Mohd Roji Kawi.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tempoh sehingga 1 November untuk mengambil tindakan terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia selaras dengan pengumuman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini, bahawa semua penjawat awam harus patuh kepada pekeliling yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini dan jika terus enggan, tindakan tatatertib akan diambil.

Menurutnya, sejak pengumuman itu ada guru yang sebelum ini enggan divaksin, kini sudah berubah fikiran dan bersetuju untuk menerima dos pertama.

"Berikutan pengumuman itu, senarai (guru yang enggan divaksin) kini turut berubah dan kita terus memantau perkembangan semasa.

"Paling penting sekarang ialah ia (guru enggan divaksin) boleh menjejaskan operasi sekolah dan tindakan segera perlu diambil termasuk menukar guru terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, tindakan menukar guru itu perlu bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas selain memastikan guru lain (yang lengkap vaksin) tidak terkesan.

"Sebagai contoh, bagi murid berkeperluan khas yang sememangnya sepanjang masa memerlukan guru berdamping dengan mereka.

"Jika ada kalangan guru itu (guru berkeperluan khas) enggan divaksin, tentu ia akan menjejaskan operasi sekolah, kerana kita berpegang kepada prinsip asas, iaitu jika tidak divaksin, tidak boleh mengajar secara bersemuka," katanya.

Mengenai program imunisasi pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, beliau berkata, secara keseluruhan kini sebanyak 80 peratus sudah menerima dos pertama malah ada negeri yang sudah berjaya mencapai 90 peratus.

"Pelajar Tingkatan 6 dan Tingkatan 5 sebahagian besarnya sudah lengkap vaksinasi dan kita berpuas hati apabila proses imunisasi berjalan lancar.

"Bagi vaksinasi untuk pelajar sekolah rendah, kita akur dengan apa sahaja keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketika ini KKM menjelaskan tiada vaksin sesuai untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan jika sudah ada, KKM bersedia untuk memberi vaksin kepada golongan itu, kami akan bekerjasama penuh," katanya.

Mengenai isu sekolah daif, beliau berkata, KPM perlu menyelesaikan perkara asas terlebih dahulu iaitu berkaitan status pemilikan tanah.

"Kita perlu menyelesaikan pemutihan tanah itu dahulu kerana selagi tanah itu tidak ditukar hak milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, kita tidak boleh membina bangunan sekolah di tanah terbabit.

"Begitu juga dengan isu sekolah yang perlu dibina baharu. Ketika ini ia bukan sahaja membabitkan sekolah yang struktur fizikalnya daif tetapi ada juga ada sekolah yang masih elok namun kerap berdepan masalah banjir selain berlaku pergerakan tanah di tapak sekolah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 1:25 PM