Mohd Azizee Hasan.
Mohd Azizee Hasan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta dapat menyediakan satu prosedur operasi standard (SOP) yang jelas mengenai vaksinasi dalam kalangan pelajar bagi mengelak timbulnya kegusaran kepada ibu bapa.

Presiden Persatuan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata, SOP itu penting kerana akan terdapat pelajar yang divaksin dan tidak divaksin.

"SOP yang jelas membabitkan kedudukan pelajar yang divaksin dan tidak divaksin penting berikutan terdapat dalam kalangan ibu bapa yang bimbang terhadap jangkitan Covid-19 apabila sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula awal bulan depan.

"Sebahagian besar ibu bapa bimbang hingga membuat mereka berbelah bahagi dan ada yang menganjurkan pengundian mengenai bersetuju atau sebaliknya terhadap hasrat KPM untuk membuka sekolah secara bersemuka.

"Kebimbangan ibu bapa ini perlu diredakan dengan adanya satu SOP yang jelas daripada KPM sebagai langkah meyakinkan mereka untuk membenarkan anak ke sekolah," katanya di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini menyasarkan 3.2 juta remaja berusia 12 sehingga 17 tahun lengkap divaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) remaja menjelang hujung tahun ini.

Pemberian vaksin itu membabitkan dua fasa iaitu diberi kepada satu juta berusia 16 hingga 17 tahun bagi pelajar mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diikuti fasa dua diperluaskan kepada dua juta remaja berusia 12 hingga 15 tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, keutamaan pembukaan sekolah bersemuka harus diberikan kepada kawasan yang mencatatkan kes baharu Covid-19 rendah selain pencapaian imuniti yang tinggi seperti kawasan Fasa Tiga dan Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Bagi kawasan seperti ini, sesi sekolah bersemuka mungkin boleh dimulakan termasuk bagi murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua untuk memastikan murid ini dapat menguasai 3M (membaca, mengira dan menulis) dengan baik.

"Murid kategori ini dilihat amat terkesan jika tidak hadir ke sekolah sekali gus menjejaskan penguasaan mereka terhadap 3M," katanya.

Beliau bagaimanapun menyambut baik langkah KPM melakukan libat urus dengan guru, sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) baru-baru ini.

Menurutnya, libat urus itu sedikit-sebanyak dapat melegakan ibu bapa manakala guru yang enggan menerima vaksin, mungkin akan mengubah fikiran untuk bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Menerusi sesi kaunseling itu, dijangkakan bilangan guru yang enggan menerima vaksin akan berkurangan dan ini sekali gus akan dapat permudahkan urusan pembukaan sekolah bersemuka nanti," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azizee memuji guru di Negeri Sembilan yang kini hampir 98 peratus bersetuju dan bersedia menerima vaksin.

Beliau berkata, sebilangan kecil guru yang tidak dapat atau menolak menerima vaksin itu adalah disebabkan beberapa faktor terutama kesihatan.

"Kami juga bersetuju dengan arahan kerajaan bahawa semua guru perlu menerima vaksin dan mereka yang menolak bakal berdepan dikenakan tindakan tatatertib atau mengikut peruntukan yang sedia ada.

"Tindakan segelintir mereka (guru) yang menolak juga akan menjejaskan oeprasi pembukaan sekolah bersemuka nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 4:56 PM