DR Ying Fen terpilih sebagai pemenang 30 Hari 30 Frontliners di PPV Bangi Convention Centre, Bangi.
DR Ying Fen terpilih sebagai pemenang 30 Hari 30 Frontliners di PPV Bangi Convention Centre, Bangi.

Bangi: Berpeluang bertugas secara sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Convention Centre memberi pengalaman berharga kepada pegawai pergigian, Dr Lee Ying Fen, 28.

Biarpun berbeza skop tugas sebenarnya sebagai doktor gigi, anak bongsu daripada dua beradik ini teruja dapat menjadi antara barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19 di negara ini.

Selama tiga bulan bertugas di PPV, beliau mengakui berdepan pelbagai kerenah penerima vaksin yang datang daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Setiap hari saya perlu bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk berdepan penerima vaksin.

"Bagaimanapun, secara keseluruhan mereka memberi kerjasama yang baik sehingga ada yang menyumbang makanan kepada petugas sebagai ucapan terima kasih," katanya.

Dr Ying Fen berkata, antara pengalaman masih berbekas di hati sehingga kini apabila menerima kedatangan seorang warga emas kurang upaya.

Katanya, wanita itu datang sendirian dengan kerusi roda tanpa ditemani pengiring.

"Saya terkejut dan apabila ditanya wanita terbabit memberitahu dia tinggal sendirian di rumah.

"Saya terharu dengan kesungguhan wanita itu yang sanggup datang ke PPV sendirian untuk menerima suntikan vaksin biarpun serba kekurangan," katanya.

Selain itu, beliau turut terbabit dalam program vaksinansi bergerak di pusat penjagaan warga emas.

"Biarpun rata-rata mereka sudah berusia 70 hingga 80 tahun, mereka tidak takut jarum dan memberi kerjasama sepanjang proses pemberian vaksin," katanya.

Beliau berharap setiap individu di negara ini perlu terus memainkan peranan masing-masing sebagai barisan hadapan negara.

"Biarpun sudah menerima vaksin, prosedur operasi standard (SOP) perlu terus diamalkan dari semasa ke semasa," katanya.

Dr Ying Fen adalah salah seorang pemenang Kempen 30 Hari 30 Frontliners anjuran CSR, HotFM, Fly FM dan Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 8:03 AM