BEH Eng Lai. FOTO Arkib NSTP
BEH Eng Lai. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis akan memanggil petugas kesihatan dan individu berhubung dakwaan suntikan vaksin daripada picagari kosong di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu yang berlaku di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan, mengambil kira semua aspek.

"Kita akan memanggil individu terbabit termasuk petugas kesihatan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini," katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan turut mengesahkan menerima laporan isu sama yang dilaporkan berlaku PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC).

Menurutnya, laporan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif PPV berkenaan yang menafikan satu ciapan tanpa video dan gambar di Twitter, mengenai seorang lelaki nyaris disuntik picagari kosong ketika mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 pada 17 Julai lalu.

"Hasil siasatan mendapati kenyataan itu dibuat oleh teman wanita penerima vaksin itu, sebelum ia tular dan mendapat pandangan negatif daripada masyarakat.

"Susulan kejadian, petugas PPV sudah berhubung dan menerangkan dengan jelas prosedur pemberian vaksin kepada lelaki itu dan dia berpuas hati.

"Ini adalah insiden salah faham apabila lelaki itu menyangka disuntik picagari kosong, sedangkan dia disuntik dengan vaksin Sinovac," katanya yang memberitahu tidak menerima laporan daripada penerima vaksin itu atau individu lain yang mendakwa hampir ditipu ketika menerima suntikan di PPV sama.

Mohd Zaid berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Semalam, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dilaporkan menjalankan siasatan terhadap dakwaan suntikan vaksin kosong yang berlaku di PPV MITEC dan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu, manakala PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue pada Ahad.

Menerusi kenyataan, siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 3:23 PM