FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dakwaan seorang penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) disuntik vaksin daripada picagari kosong adalah salah faham.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan menafikan dakwaan itu seperti yang ditularkan di media sosial.

Katanya, pihaknya juga menerima laporan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif PPV berkenaan menafikan dakwaan terbabit yang bermula daripada satu ciapan tanpa video dan gambar di Twitter, mengenai seorang lelaki nyaris disuntik picagari kosong ketika mendapatkan vaksin Covid-19 pada 17 Julai lalu.

"Hasil siasatan mendapati kenyataan itu dibuat oleh teman wanita penerima vaksin terbabit, sebelum ia tular dan mendapat pandangan negatif daripada masyarakat.

"Susulan kejadian, petugas PPV sudah berhubung dan menerangkan dengan jelas prosedur pemberian vaksin kepada lelaki itu dan dia berpuas hati.

"Ini adalah insiden salah faham apabila lelaki itu menyangka disuntik picagari kosong, sedangkan dia disuntik dengan vaksin Sinovac," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pihaknya tidak menerima laporan daripada penerima vaksin itu atau individu lain yang mendakwa hampir ditipu ketika menerima suntikan di PPV BACC.

Katanya, siasatan terhadap kes itu dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Semalam, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dilapor menjalankan siasatan terhadap dakwaan suntikan vaksin kosong yang berlaku di PPV MITEC dan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu, manakala PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue.

Menerusi kenyataan, siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 6:40 PM