Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Bangi: Vaksinasi secara jumpa terus tanpa janji temu atau 'walk-in' kepada golongan 18 tahun ke atas di Lembah Klang yang bermula hari ini ibarat pisang goreng panas apabila dos vaksin disediakan habis dalam masa dua jam.

Tinjauan Harian Metro di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Center (BACC), di sini, mendapati ia dipenuhi orang ramai seawal jam 12 tengah hari untuk mendapatkan vaksin dengan mereka beratur panjang menunggu giliran.

Ketua Penyelaras PPV BACC Hasfazilah Hassan berkata, proses pemberian vaksin berjalan lancar sejak kaedah 'walk-in' dimulakan, Isnin lalu.

Menurutnya, sebanyak 1,120 dos vaksin disediakan untuk penerima secara 'walk-in' yang dibuka bermula jam 2 petang hingga 8.30 malam setiap hari.

"Berdasarkan statistik, sebanyak 55 peratus daripada jumlah keseluruhan dos vaksin diberikan kepada penerima 'walk-in' berusia 40 tahun ke atas pada 2 Ogos lalu manakala menurun 41 peratus kelmarin dan 33 peratus semalam.

"Bagaimanapun, penerima vaksin hari ini mencapai 100 peratus susulan hari pertama 'walk-in' untuk golongan berusia 18 tahun ke atas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ditanya mengenai jumlah penerima vaksin secara 'walk-in' yang rendah semalam, beliau tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh ramai individu dalam golongan terbabit sudah menerima vaksin atau sudah mendapat janji temu masing-masing.

Penerima vaksin, Nurul Azira Khairuddin, 23, dari Banting, Selangor berkata, dia datang seawal jam 12.30 tengah hari bagi mencuba nasib mendapatkan vaksin secara 'walk-in'.

"Saya mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi di aplikasi MySejahtera sejak Mei lalu, namun tidak menerima janji temu setakat semalam.

"Oleh itu, saya datang ke sini dan bersyukur kerana berjaya mendapat suntikan. Pada mulanya memang gementar tetapi bila sudah selesai disuntik, saya rasa lega," katanya yang juga penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa.

Seorang lagi penerima, V Krishayalini, 23, gembira mendapat vaksin Covid-19 selepas terpaksa membatalkan janji temu sebelum ini atas sebab urusan kerja.

Gadis berasal dari Kajang itu berkata, dia meminta cuti daripada majikan lebih awal selepas mengetahui mengenai pemberian vaksin untuk golongan 18 tahun ke atas menerusi mesej daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Saya keluar rumah kira-kira jam 2 petang dan nampak orang ramai sudah beratur. Namun proses menunggu tidak lama dan saya selesai divaksin dalam tempoh satu jam," katanya.

PPV tanpa janji temu di Lembah Klang memulakan operasi pada 2 Ogos lalu untuk golongan 40 tahun ke atas dan yang mempunyai komorbiditi manakala individu 18 tahun ke atas bermula hari ini.

Bagaimanapun PPV terbabit tetap mengutamakan individu yang sudah mempunyai janji temu untuk suntikan vaksin, namun bagi mereka yang datang tanpa janji temu dan tidak dapat suntikan vaksin, mereka akan diberikan keutamaan pada keesokannya.

 Orang ramai hadir mendapatkan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin Bangi Avenue Convention Centre. FOTO ROHANIS SHUKRI
Orang ramai hadir mendapatkan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin Bangi Avenue Convention Centre. FOTO ROHANIS SHUKRI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 6:15 PM