Petugas sukarelawan di BACC membantu penerima vaksin. FOTO Hazreen Mohamad
Petugas sukarelawan di BACC membantu penerima vaksin. FOTO Hazreen Mohamad
Redzuan Muharam


Kajang: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Taman Bangi Avenue, di sini, tidak lagi mewajibkan penggunaan pelindung muka (face shield) kepada penerima vaksin yang hadir.

Ketua PPV BACC Dr Mahani Pardan berkata, langkah itu diambil susulan aduan diterima selepas tularnya gambar di laman sosial sejak semalam.

Dr Mahani mengakui pihaknya ada memberi kebenaran kepada vendor untuk menjual pelindung muka kepada mereka yang datang ke PPV berkenaan bermula pagi semalam.

"Kami pada mulanya menjalankan usaha ini sebagai langkah berjaga-jaga bukan sahaja untuk petugas, tetapi untuk pengunjung iaitu penerima vaksin yang hadir ke sini.

"Jadi, apa kita boleh lakukan adalah dengan mengambil vendor luar untuk menjual pelindung muka.

"Tidak dinafikan memang ada jualan pelindung muka, dijual bermula RM3 sehingga yang berharga RM10 daripada jenis boleh diulang pakai sebagai pilihan," katanya ketika dihubungi Harian Metro

Dr Mahani menegaskan, pihak pengurusan PPV mahupun vendor bagaimanapun tidak memaksa orang ramai untuk membeli pelindung muka berkenaan.

"Kami juga tidak mengambil keuntungan hasil jualan pelindung muka itu," katanya.

Semalam, seorang pengguna Twitter memuat naik ciapan mempersoalkan adakah wajib penerima vaksin untuk memakai pelindung muka di PPV.

Ia kerana ada penerima vaksin di PPV BACC yang diminta membeli pelindung muka pada harga RM10 seunit.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dalam ciapan balas di Twitter memaklumkan isu itu sudah diselesaikan semalam dan tiada lagi penjualan pelindung muka di PPV BACC.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kes di PPV Ideal Convention Centre Dan PPV Setia City Convention Centre di Shah Alam, Selangor serta penilaian varian delta pembawaan udara.

Langkah itu juga bertujuan untuk menjaga keselamatan semua pihak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Julai 2021 @ 5:42 PM