Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bekalan ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan Covid-19 di hospital awam tidak terputus sepenuhnya dan diterima secara berperingkat daripada pembekal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan media menyatakan terdapat kekurangan bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan rawatan jangkitan Covid-19 di hospital awam di seluruh negara.

"Sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan Covid-19 meningkat secara drastik dalam jangka waktu singkat berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia.

"Permintaan dalam negara ke atas ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan virus itu meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik yang turut mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan Covid-19 di hospital awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut dimaklumkan akan gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik itu.

"Selain itu, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu singkat.

"Ini disebabkan oleh kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil.

"Bagaimanapun, bekalan ubat-ubatan ini tidak terputus sepenuhnya dan diterima secara berperingkat daripada pihak pembekal," katanya.

Beliau berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

"Antaranya adalah berkerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif bagi ubat di bawah kontrak pusat.

"Selain itu, langkah meluluskan bekalan produk alternatif melalui perolehan daripada pembekal alternatif bagi produk di bawah kontrak pusat KKM," katanya.

Katanya, pihaknya juga melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan Covid-19.

"Pada masa sama, memudahcara proses pembekalan oleh pembekal kontrak dengan memberikan pengecualian ke atas syarat kontrak yang tidak menjejaskan kualiti produk seperti pengecualian pelabelan 'Hak Kerajaan' pada kotak ubat.

"Kami juga menjalankan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan mengenai ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

"Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan," katanya.

Menurutnya, pemantauan rapi ke atas ubat-ubatan yang berkaitan turut dilakukan dengan rawatan Covid-19 melalui pelaporan stok setiap dua minggu bagi memudahkan mobilisasi stok ke lokasi-lokasi yang kritikal.

"KKM juga sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya berkaitan dengan rawatan Covid-19.

"Di samping itu, KKM tetap memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang diperolehi tetap terjamin untuk kemaslahatan rakyat negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 12:04 AM