Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan simpanan ubat tertentu dari klinik kerajaan kini sudah mula diagihkan ke klinik swasta bermula hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata buat permulaan pihaknya mengagihkan ubat jenis paracetamol kepada klinik berkenaan.

Katanya, tindakan itu diambil bagi mengatasi masalah bekalan ubat di negara ini.

"Pengeluaran ubat tertentu daripada simpanan kerajaan persekutuan ke klinik swasta untuk mengatasi kekurangan ubat akan bermula hari ini, dan ia dimulakan dengan ubat paracetamol.

"Jika anda diminta membeli PCM (paracetamol) di klinik swasta (tetapi) berlogo KKM, ia adalah wajar kerana ia daripada stok simpanan kerajaan," katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Sebelum ini, Khairy mengumumkan KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan kepada klinik dan hospital swasta untuk menangani isu kekurangan bekalan di fasiliti kesihatan berkenaan.

Katanya, setakat ini masih terdapat fasiliti antaranya klinik swasta yang tidak mendapat bekalan ubat-ubatan untuk batuk dan selsema.

Sehubungan itu, KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan yang berdepan masalah bekalan.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara.

Selain itu, Khairy turut memaklumkan pesakit di hospital swasta boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat bagi meneruskan rawatan sekiranya perlu, namun pesakit mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk.

Langkah akhir adalah pesakit boleh membeli ubat-ubatan berkenaan dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 2:09 PM