Nuraliawati Sabri


Melaka: Suasana pantai Klebang di sini, yang sebelum ini sunyi bertukar gamat hari ini, apabila diserbu orang ramai ekoran kemunculan siput sedut dan remis.

Tinjauan Harian Metro mendapati, sepanjang pantai itu dipenuhi orang ramai yang datang bersama keluarga untuk mencari siput sedut dan remis.

Penduduk, Jamilah Amat, 53, berkata, dia pada awalnya datang ke pantai Klebang untuk mencari siput sedut selepas kehadirannya tular di media sosial.

Katanya, bagaimanapun, sebaik tiba, dia mendapati siput sedut itu bersaiz kecil sebelum menemui remis di pesisir pantai.

PENDUDUK Jamilah Amat, menunjukkan remis yang diperoleh. FOTO Nuraliawati Sabri
PENDUDUK Jamilah Amat, menunjukkan remis yang diperoleh. FOTO Nuraliawati Sabri

"Saya tiba ke pantai ini jam 3.30 petang bersama anak. Kami mengorek remis dalam pasir sebelum menemuinya dalam kuantiti besar.

"Tidak lama kemudian, lebih ramai tiba untuk mencari remis serta siput sedut," katanya ditemui.

Jamilah yang tinggal di Kampung Pinang berkata, kawasan pantai itu yang ditutup sebelum ini menyebabkan remis membiak dengan banyak.

"Rezeki hari ini, tiada siput sedut, dapatlah remis untuk dijadikan hidangan serta dibahagi-bahagikan dengan jiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:52 PM