Nor Amalina Alias


Bachok: Kedatangan musim tengkujuh turut memberi rezeki kepada penduduk sekitar pesisir pantai di Bachok untuk mencari ibu remis atau Yat Yat.

Haiwan berbentuk seperti kutu namun lebih kecil dan bercengkerang seperti udang dipercayai daripada spesis Sand Flea atau Crab Mole.

Tinjauan ke pesisir pantai Tok Burong, di sini, mendapati, kawasan itu seperti pesta apabila penduduk dan pengunjung mengambil peluang mencari Yat Yat dan remis menggunakan raga dan tudung saji.

Penduduk, Mohd Yazi Mohd Noor, 47 berkata, Yat Yat lebih sedap berbanding remis atau lala kerana rasanya seperti udang.

Katanya, biasanya Yat Yat digoreng dengan telur atau dicucuk lidi dan dibakar seperti satay.

"Ibu remis (Yat Yat) ni duduk dalam pasir di tepi pantai. Cara mencarinya kena tunggu air surut, lihat air yang berbentuk huruf 'V' terbalik, cepat-cepat korek kawasan tu, mesti dapat Yat Yat.

IBU remis atau Yat Yat yang menjadi buruan pengunjung di pesisir Pantai Tok Burong. FOTO Nor Amalina Alias
IBU remis atau Yat Yat yang menjadi buruan pengunjung di pesisir Pantai Tok Burong. FOTO Nor Amalina Alias

"Caranya sama macam cari remis. Yat Yat ini hanya muncul masa musim tengkujuh sahaja," katanya ketika ditemui di pesisir Pantai Tok Burong.

Mohd Yazi berkata, walaupun rupa haiwan itu pelik, ia boleh dimakan dan beliau sudah memakan Yat Yat sejak kecil.

Sementara itu, Rahani Arifin, 57 berkata, aktiviti mencari Yat Yat biasanya pada waktu pagi seawal 7 pagi kerana lebih mudah dicari selain ombak lebih besar dan berbahaya kepada pengunjung pada waktu petang.

"Aktiviti mencari Yat Yat bersama keluarga sangat menyeronokkan, sambil beriadah, kami dapat menikmati Yat Yat yang dikutip bersama anak-anak," katanya.

Bagi Nor Asma Shahira Alias, 24, itu kali pertama dia mengenali Yat Yat kerana sebelum ini datang untuk mengutip remis.

"Saya diberitahu pengunjung lebih berusia di sini yang Yat Yat lebih sedap daripada remis dan boleh dimakan. Mereka juga ajar cara untuk menangkap Yat Yat. Bila beritahu ayah, rupanya Yat Yat ini memang menjadi makanan orang sejak dulu lagi seperti remis, lala dan kerang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2020 @ 4:09 PM