PERCUTIAN di tepi pantai selalu dibayangi dengan pengunjung 'healing' menerusi aktiviti bermandi-manda sambil menikmati bayu laut.
Berbeza cerita dengan satu keluarga yang penulis temui ketika bersantai di Pantai Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini apabila pantai menjadi 'port' percutian kerana hobi seisi keluarga mencari remis.
Difahamkan aktiviti itu sudah menjadi rutin bagi keluarga Zamri Kamarudin, 48, setiap kali musim cuti sekolah atau hujung minggu dengan mencari hidupan laut bercangkerang itu.
Kata Zamri, dia dan isteri, Haslina Aran, 45, seakan-akan 'sebati' dengan aktiviti mencari remis selain mengakui minat semakin mendalam sejak tiga tahun kebelakangan ini kerana mendapati pelbagai spesies kepah yang unik ditemui di pantai berlainan.
"Saya berasal dari Lubuk China, Melaka dan pantai adalah lokasi percutian kegemaran keluarga.
"Biasanya apabila pulang ke kampung, keluarga saya atau adik-beradik saya mengunjungi tempat percutian pantai kerana lokasinya hanya 15 minit dari rumah.
"Malah, kami sekeluarga berkunjung ke Kuala Sungai Baru bersama keluarga adik, Siti Maryam, 40, dan suami, Ahmad Fadli 41, serta tiga anak mereka dalam perjalanan balik beraya pada Aidilfitri baru-baru ini.
"Selain aktiviti mandi-manda, paling seronok dekat pantai Kuala Sungai Baru ialah aktiviti mencari remis. Kawasan pantai di sini lubuk ibaratnya sebab pencarian dengan mendulang dengan kawasan air cetek sudah boleh kutip remis," katanya.
Menceritakan pula pengalaman di sebelah Pantai BNO, kata Zamri, di pantai terbabit pada petang ketika air surut, ia tidak ubah seperti pesta.
"Di Pantai BNO, saya perasan orang yang berkunjung seperti berkampung dan beramai-ramai mengutip kepah di sini.
"Mereka boleh kutip penuh satu plastik dan kalau tengok remis dikutip pelbagai bentuk dan warna.
"Kebetulan saya singgah di satu gerai yang menjual hasil laut, saya dimaklumkan sebenarnya ada pelbagai jenis hidupan laut dari spesies kerang itu.
"Ramai salah faham antara remis, biji nangka, kijing dan hala-hala (lala). Saya dimaklumkan peniaga itu, remis bersaiz kecil dan mempunyai pelbagai corak dan warna.
"Biji nangka bersaiz ibu jari dan mempunyai satu warna iaitu kuning. Berlainan dengan kijing yang berwarna kelabu keputihan, lebih besar panjang dan panjang daripada biji nangka. Lala pula lebih besar dan berwarna jingga keperangan," katanya.
Tambah Zamri, setiap lokasi pantai tidak sama pengalamannya dalam mencari remis, ada kesukaran dan cabaran tersendiri.
"Untuk mencari remis tidak bermusim. Ia sentiasa ada cuma kuantiti di setiap tempat tidak sama. Jika jumpa lubuk memang banyak dan saiz juga besar.
"Cabaran pula, apabila air pasang kerana remis kebiasaannya dicari di kawasan persisiran pantai. Begitu juga kalau hujan, susah hendak mencari remis.
"Tetapi, ia masih menyeronokkan kerana mencari remis adalah satu cara untuk menenangkan fikiran sambil melayan anak mandi di pantai," katanya.