DUA mangsa yang diselamatkan APMM selepas bot yang mereka naiki mengalami kerosakan. FOTO Ihsan APMM
DUA mangsa yang diselamatkan APMM selepas bot yang mereka naiki mengalami kerosakan. FOTO Ihsan APMM
Asrol Awang

Kuantan: Dua pemancing diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, malam tadi, selepas enjin bot dinaiki mereka rosak pada kedudukan 20 batu nautika di timur Gebeng di sini, petang semalam.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, mereka yang selamat itu dikenali Nik Akram Nik Ahmad, 37, dan Afendi, 47, ditemukan pada 9 malam.

Katanya, dua pemancing berkenaan ditemukan selepas tiga jam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dilaksanakan sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Berdasarkan laporan, APMM menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan dan sebuah bot ronda segera diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan operasi.

"Pasukan Carilamat APMM Pahang mengambil masa hampir tiga jam sebelum menemui bot terbabit pada 9 malam di kedudukan empat batu nautika utara Gebeng.

"Mereka dipindahkan ke bot Kilat manakala bot rosak itu ditunda ke jeti Sungai Ular," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, enjin bot dinaiki dua sahabat itu secara tiba-tiba tidak dapat dihidupkan menyebabkan mereka menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, APMM sentiasa bersiap sedia memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat terutama komuniti laut serta agensi kerajaan mengalami kecemasan di laut atau ditimpa bencana.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau talian bantuan kecemasan MERS 999 sekiranya mengalami kecemasan atau masalah di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 4:42 PM