BOT yang dinaiki 10 pemancing terkandas kira-kira 9 batu nautika dari Kuala Selangor akibat kerosakan enjin. FOTO Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
BOT yang dinaiki 10 pemancing terkandas kira-kira 9 batu nautika dari Kuala Selangor akibat kerosakan enjin. FOTO Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Iskandar Shah Mohamed

Pelabuhan Klang : Seramai 10 pemancing menempuh detik menakutkan apabila terkandas selama lebih sembilan jam berikutan bot dinaiki mereka mengalami kerosakan kira-kira 9 batu nautika dari daratan Kuala Selangor, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan, bot pancing dinaiki mereka bersama dua kru lain berusia antara 30-an hingga 50-an itu keluar ke kawasan perairan berkenaan sejak jam 10 pagi, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, bot itu dikatakan mengalami kerosakan pada enjin dan hanya boleh terapung di lokasi kejadian sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Daerah Klang Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, pusat operasi Daerah Maritim 4 Selangor menerima aduan kerosakan daripada pemilik bot itu pada jam 12.50 tengah hari kelmarin.

“Bot peronda Kilat 32 milik APMM kemudian segera digerakkan ke lokasi kejadian walaupun terdapat sebuah bot rakan mereka akan datang untuk membawa mereka pulang ke Bagan Tengkorak, Tanjung Karang.

“Bot itu kemudian dipantau dan dikawal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, usaha menyelamatkan 12 individu itu mengalami kesukaran berikutan keadaan air pasang pada jam 6 petang.

“Semua mereka bagaimanapun selamat tiba di Jeti Bagan Tengkorak pada 10.30 malam tadi (kelmarin),” katanya.

Justeru, kata Abu Zaki, pihaknya menasihatkan komuniti maritim supaya memastikan bot mereka berada dalam keadaan baik sebelum keluar ke laut bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku.

“Ia turut mengambil kira faktor keadaan cuaca kepada sesiapa yang mahu melakukan aktiviti di laut,” katanya yang meminta orang ramai menyalurkan maklumat di talian 24 jam MERS 999 jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 6:28 AM