SEORANG nelayan, Ishak Muda, 60 yang hilang selepas terjatugh ke dalam laut. FOTO ihsan APMM
SEORANG nelayan, Ishak Muda, 60 yang hilang selepas terjatugh ke dalam laut. FOTO ihsan APMM
Asrol Awang

Kuantan: Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut pada kedudukan kira-kira 14 batu nautika timur Gebeng di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, berdasarkan laporan, mangsa dikenali sebagai Ishak Muda, 60.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama 16 rakannya keluar ke laut dengan menaiki bot pukat jerut, kelmarin.

"Bagaimanapun, kehilangan mangsa hanya disedari tekong selepas tiba di jeti Kompleks Kemunting di sini pagi semalam.

"Usaha mencari mangsa di jeti serta daratan dilakukan oleh rakan namun gagal menemui mangsa.

"Mangsa yang kali terakhir dilihat berseluar pendek berwarna gelap dan tidak berbaju itu dipercayai terjatuh ke dalam laut di lokasi penangkapan ikan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub–Centre (MRSC) Kuantan, bot ronda APMM segera melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bermula jam 4 petang, semalam.

Katanya, maklumat kehilangan mangsa turut disalurkan kepada agensi sahabat serta komuniti nelayan tempatan bagi membantu pencarian di sekitar lokasi terbabit.

"Carilamat hari pertama ditangguhkan sekitar jam 7.30 malam tadi berikutan cuaca gelap yang menyukarkan penglihatan.

"Carilamat disambung pada jam 7 pagi ini dengan keluasan sektor pencarian sasaran merangkumi 35 batu nautika persegi.

"Oleh itu, sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan kegiatan jenayah atau di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 12:07 PM